Kerajaan dan perlembagaan United_Kingdom

Rencana utama: Politik United Kingdom

United Kingdom merupakan sebuah negara unitari di bawah raja berperlembagaan. Ratu Elizabeth II merupakan ketua negara UK dan juga 15 negara Komanwel yang lain. Perlembagaan United Kingdom tidak bertulis,[48] begitu juga dengan tiga buah negara lain di dunia.[note 2] Oleh itu, Perlembagaan United Kingdom banyak terdiri daripada himpunan sumber bertulis yang begitu berbeza, termasuklah statut, undang-undang kes tetapan hakim, dan perjanjian antarabangsa. Disebabkan tiadanya perbezaan teknikal antara statut biasa dan "undang-undang perlembagaan," Parlimen United Kingdom boleh melakukan "pembaharuan perlembagaan" dengan sekadar meluluskan Akta Parlimen, justeru memegang kuasa politik untuk mengubah atau memansuhkan apa sahaja unsur yang bertulis atau tidak bertulis dalam perlembagaan. Bagaimanapun, tiada Parlimen yang boleh meluluskan undang-undang yang tidak boleh diubah oleh Parlimen masa hadapan.[49]

UK mengamalkan kerajaan berparlimen yang berlandaskan sistem Westminster yang dicontohi di seluruh dunia sebagai tinggalan Empayar British. Parlimen United Kingdom yang bersidang di Istana Westminster terdiri daripada dua dewan, iaitu Dewan Rakyat (House of Commons) yang dianggotai oleh wakil terpilih, dan Dewan Pertuanan (House of Lords) yang dianggotai oleh wakil lantikan, dan mana-mana Rang Undang-undang yang diluluskan memerlukan Perkenan Diraja supaya terbentuknya undang-undang baru. Parlimen UK merupakan lembaga perundangan mutlak di United Kingdom kerana parlimen terdevolusi di Scotland serta dewan-dewan undangan di Ireland Utara dan Wales bukannya badan berdaulat dan boleh dimansuhkan oleh parlimen UK.

Jawatan Perdana Menteri selaku ketua kerajaan UK,[50] terletak di tangan seorang Ahli Parlimen yang mampu meraih kepercayaan majoriti di Dewan Rakyat, iaitu selalunya pemimpin semasa parti politik terbesar dalam dewan itu. Perdana Menteri dan Jemaah Menteri dilantik secara rasmi oleh Raja untuk membentuk Kerajaan Baginda (Her Majesty’s Government), tetapi sebenarnya, Perdana Menterilah yang memilih menteri-menterinya, dan secara resam baginda menghormati pilihan Perdana Menteri.[51]

Istana Westminster, tempat terletaknya kedua-dua dewan Parlimen United KingdomElizabeth II, Ratu United Kingdom dan Alam-Alam Komanwel yang lain

Jemaah Menteri lazimnya dipilih dari kalangan ahli-ahli parti Perdana Menteri di kedua-dua dewan perundangan, kebanyakannya dari Dewan Rakyat yang harus dijawab oleh mereka. Kuasa eksekutif dilaksanakan oleh Perdana Menteri dan Kabinet, kesemua mereka bersumpah di hadapan Majlis Privi Baginda Yang Amat Berhormat (Her Majesty’s Most Honourable Privy Council), lalu menjadi Jemaah Menteri Mahkota (Ministers of the Crown). Rt. Hon. David Cameron, ketua Parti Konservatif, memegang jawatan Perdana Menteri, Pembesar Utama Perbendaharaan dan Menteri Perkhidmatan Awam sejak 11 Mei 2010.[52] Untuk pilihan raya ke dalam Dewan Rakyat,UK kini terbahagi kepada 650 kawasan pengundian.[53] Setiap kawasan pengundian memilih seorang Ahli Parlimen secara undi terbanyak mudah. Pilihan raya umum diadakan oleh Raja atas nasihat Perdana Menteri. Akta Parlimen (1911) mewajibkan pilihan raya umum baru diadakan tidak lebih lima tahun selepas pilihan raya umum sebelumnya.[54]

Politik

Tiga buah parti politik utama di UK ialah Parti Konservatif, Parti Buruh, dan [Parti Demokrat Liberal, yang bersama-sama meraih 622 daripada 650 kerusi di Dewan Rakyat: 621 kerusi pada pilihan raya umum tahun 2010[55] dan satu lagi di pilihan raya kecil tertunda di Thirsk dad Malton.[56] Kerusi-kerusi yang selebihnya dimenangi oleh parti-parti kecil yang hanya bertanding di kawasan tertentu sahaja, yakni Parti Kebangsaan Scotland (Scotland sahaja), Plaid Cymru (Wales sahaja), Parti Penyokong Kesatuan Demokratik, Parti Demokratik Sosial dan Buruh, Parti Penyokong Kesatuan Ulster, dan Sinn Féin (Ireland Utara sahaja, namun Sinn Féin juga bertanding dalam pilihan raya di Republik Ireland). Selaras dengan dasar parti, tidak seorang Ahli Parlimen yang terpilih dari Sinn Féin pernah menghadiri Dewan Rakyat untuk bersuara bagi pihak kawasan pemilihannya kerana Ahli-ahli Parlimen dikehendaki mengangkat sumpah taat setia kepada Raja. Walaupun demikian, Ahli-Ahli Parlimen Sinn Féin masih boleh menggunakan pejabat dan kemudahan lain yang disediakan di Westminster sejak tahun 2002.[57] Untuk pilihan raya ke Parlimen Eropah, UK kini diwakili oleh 72 Ahli Parlimen Eropah yang terpilih untuk 12 kawasan pemilihan berbilang ahli.[58]

Kerajaan terdevolusi

Bangunan Parlimen Scotland di Holyrood merupakan pusat Parlimen Scotland.

Ireland Utara, Scotland dan Wales masing-masing mempunyai sebuah badan kerajaan atau Eksekutif yang dipimpin oleh Menteri Pertama (First Minister), dan sebuah badan perundangan ekadewan yang didevolusikan dari kerajaan pusat. England sebagai negeri terbesar di United Kingdom tiada badan eksekutif atau perundangan sendiri, sebaliknya fungsi-fungsi tersebut dipikul secara langsung oleh kerajaan dan parlimen UK untuk segala isu. Situasi ini telah menimbulkan persoalan berkenaan hakikat bahawa para Ahli Parlimen dari Ireland Utara, Scotland dan Wales boleh mengundi untuk hal-ehwal berkenaan England, adakalanya secara muktamad[59], walhal hal-ehwal tersebut di kawasan sendiri diuruskan oleh badan perundangan negeri masing-masing[60].

Kerajaan dan Parlimen Scotland memegang kuasa meluas terhadap apa sahaja perihal yang tidak dikhususkan kepada bidang kuasa parlimen UK, termasuklah pendidikan, kesihatan, undang-undang Scots dan kerajaan tempatan.[61] Kini, Parti Kebangsaan Scotland (SNP) yang pro-kemerdekaan mengetuai kerajaan minoriti yang dipimpin oleh Alex Salmond selaku Menteri Pertama Scotland.[62]

Kerajaan Dewan Undangan Wales dan Dewan Undangan Kebangsaan Wales lebih terhad kuasanya berbanding yang didevolusikan kepada Scotland,[63] namun setelah lulusnya Akta Kerajaan Wales 2006, Dewan Undangan kini boleh memperundangkan bidang-bidang tertentu melalui Langkah-Langkah Dewan Undangan (Measures of the National Assembly) yang diluluskan dalam bidang-bidang yang ditetapkan dengan jelas, dan Perintah Kompetens Perundangan (Legislative Competence Order) yang boleh diberikan mengikut kesnya.[64] Kerajaan Dewan Perundangan Wales sekarang dikuasai oleh, kerajaan campuran Plaid Cymru dan Parti Buruh[65] yang dipimpin oleh Carwyn Jones selaku Menteri Pertama.[66]

Badan-badan Eksekutif dan Dewan Undangan Ireland Utara memegang kuasa yang setanding dengan yang dipegang oleh Scotland. Badan eksekutifnya dipimpin oleh dua orang, iaitu kini Menteri Pertama Peter Robinson (Parti Penyokong Kesatuan Demokratik) dan Timbalan Menteri Pertama Martin McGuinness (Sinn Féin).[67]

Undang-undang

Mahkamah Keadilan Diraja England dan Wales.

United Kingdom tidak mempunyai sistem undang-undang tunggal kerana negara ini terbentuk oleh kesatuan negara-negara merdeka dahulu, apalagi Perkara 19 Perjanjian Kesatuan menjamin kesinambungan kewujudan sistem perundangan Scotland yang berasingan.[68] Kini, UK mempunyai tiga sistem undang-undang yang berasingan, iaitu: Undang-undang England, Undang-undang Ireland Utara dan Undang-undang Scot. Perubahan perlembagaan baru-baru ini menyaksikan lahirnya Mahkamah Agung (Supreme Court) baru yang menggantikan Jawatankuasa Rayuan Dewan Pertuanan (Appellate Committee of the House of Lords) mulai Oktober 2009.[69][70] Jawatankuasa Kehakiman Majlis Privi (Judicial Committee of the Privy Council) yang turut dianggotai oleh ahli-ahli Mahkamah Agung, merupakan mahkamah rayuan tertinggi untuk beberapa negara Komanwel merdeka, Wilayah Luar Negeri dan Wilayah Tanggungan Mahkota British.

Undang-undang England berkenaan dengan England dan Wales, dan undang-undang Ireland Utara berdasarkan prinsip-prinsip undang-undang am (common law).[71] Mahkamah-mahkamah di England dan Wales diketuai oleh Mahkamah Kanan (Senior Courts) yang terdiri daripada Mahkamah Rayuan (Court of Appeal), Mahkamah Tinggi Keadilan (High Court of Justice, untuk kes-kes awam) dan Mahkamah Diraja (Crown Court, untuk kes-kes jenayah). Mahkamah Agung merupakan mahkamah tertinggi untuk kes-kes rayuan jenayah dan awam di England, Wales, dan Ireland Utara, dan sebarang keputusan yang dibuatnya mengikat semua mahkamah lain dalam bidang kuasa yang sama, dan selalunya meninggalkan pengaruh besar dalam bidang-bidang kuasa yang lain.[72]

Scotland pula menggunakan Undang-undang Scot, sebuah sistem hibrid yang berasaskan prinsip common law dan undang-undang awam. Mahkamah-mahkamah utamanya ialah Mahkamah Sesyen (Sessions Court) untuk kes-kes awam,[73] dan Mahkamah Tinggi Keadilan (High Court of Justiciary) untuk kes-kes jenayah.[74] Mahkamah Agung United Kingdom berfungsi sebagai mahkamah rayuan tertinggi untuk kes-kes awam di bawah undang-undang Scot.[75] Mahkamah Syerif (Sheriff Court) berurusan dengan kebanyakan kes awam dan jenayah, termasuk mengadakan perbicaraan jenayah berjuri yang dikenali sebagai sheriff solemn court, ataupun sekadar syerif tanpa juri, iaitu sheriff summary court.[76] Sistem undang-undang Scotland unik kerana boleh memilih tiga keputusan untuk perbicaraan jenayah, iaitu: “bersalah”, “tidak bersalah” ataupun “tak terbukti”. Keputusan “tidak bersalah” dan “tak terbukti” menyebabkan pembebasan tanpa kemungkinan dibicarakan semula.[77]